Monday, June 22, 2009

Episode 1

“ Kadang aku cemburukan Anissa dengan Lek Kudori nya. Lek
belajar sampai ke Universiti Al-Azhar, Lek hormat Anissa sebagai seorang wanita,
Lek tolong goreng tempe bila Anissa masak sayur, Lek kemas meja bila Anissa
senduk nasi, Lek benarkan Anissa menggapai cita-cita dengan sokongan padu. Aku tau 'Too
good to be true' tapi aku tetap yakin masih wujud manusia seperti Lek dalam dunia
yang dalam penuh kebingungan indentiti ini kan? Langsung aku teringat kepada
Bang Ridzuan, namanya mirip Malaikat yang menjaga Syurga, wajahnya yang jernih
dan bersih menenangkan sesiapa yang melihatnya; umur aku 11 tahun ketika aku
bertemu dengannya. Bicaranya halus, sangat menghormati wanita tidak mengira
usia. Untuk seketika aku merasa bahagia saat itu, saat di mana ada lelaki dalam
linkungan perkumpulan manusia yang sudi berbicara sama aku, tentang apa yang
baik dan apa yang buruk, tentang betapa pandainya aku bersekolah. Aku terus
berharap untuk berjumpa Bang Ridzuan lagi suatu hari nanti. Bang Ridzuan pergi
ke Jordan, menuntut ilmu Agama di bumi para Anbia tetapi Bang Ridzuan tidak
kembali. Dia tewas kerana barah, ternyata Allah memang sayangkan orang yang
baik-baik dan lansung dia dipanggil semula ke sana mengadapNya. Aku
benar-benar merasa kehilangan…

Mungkin benar kenyataan adik bila dia kata ‘mungkin
jodohmu sudah tiada kak, sudah mati' Lansung aku segera
teringat pada Abang Ridzuan. Dialah Lek Kudori ku… dia mungkin seorang yang
dapat melindungi aku, dapat membawa aku ke jalan yang benar dan dapat
membahagiakan aku. Aku menghela nafas panjang yang agak kuat hingga kata ‘sayang
sekali’ keluar dari mulutku sendiri, sampai semua memandang ke arah aku; saat
aku melayang jauh di balik bangunan-bangunan tinggi Kuala Lumpur di meja makan
Starbucks, ketika aku menunggu seeorang yang tak kunjung tiba. Keadaan yang
sedikit aib itu mengingatkan aku, sememangnya aku tidak harus ditinggalkan
sendirian! Langsung aku marah pada teman yang sering tidak pernah tepat waktu.
Menanti memang menyeksakan!”

Saturday, June 20, 2009

Prologue

“Aku belum sempurna sebagai tunggak semenjak kepala keluarga
bernama ayah pergi, walau pada firasatku, telah ku cuba sebaiknya. Sebaliknya,
aku menarik kedua adikku sama berkorban, sama berhempas pulas membantu
membahagiakan Ibu di saat mereka sudah punya kehidupan sendiri yang perlu
dipertimbangkan. Kerana dalam menjalani hidup bersama Ibu seterusnya, tiada yang
lebih penting selain membiarkannya sentiasa bahagia tanpa seorang suami. Satu
sahaja yang ku mahu sekarang ini, supaya perkahwinan boleh membebaskan mereka
dari tanggungjawab 100% terhadap Ibu. Yang satu telah menjalani kehidupan
berumahtangga, tetapi aku masih belum berhenti memohon bantuannya setiap kali
aku kesempitan. Aku malu yang tidak terhingga sampai saat ini. Apa agaknya lagi
harus kulakukan untuk mengubah takdir mereka. Seorang lagi ku harap boleh ke
jinjang pelamin secepat mungkin, supaya dia dapat pergi jauh, bahagia bersama
keluarga sendiri. Walaupun rumah Ibu pasti sunyi tanpa mereka, tapi aku pasti
satu beban di bahu mereka akan terlucut sebaik mereka tidak harus tinggal bersama
di rumah ini; tiada kata rayuan aku di saat aku buntu dalam membuat keputusan,
tiada lagi kata sinisku di saat aku begitu marah kerana tidak mampu berbuat apa-apa.
Dengan tiadanya mereka, aku pasti terpaksa berdikari, demi harapan ke atas senyuman
seorang Ibu setiap saat di mana hanya kami berdua tinggal di casa ini. Hanya
satu ku pinta ya Allah, semoga dengan segera aku dapat lepaskan bebanan keluarga dari
adik-adikku supaya mereka bebas hidup bahagia dengan keluarga masing-masing.
Kakak minta maaf jika tanggungjawab membataskan kebahagiaan kamu semua.”